
Hari 1
Untuk pakej ke Zhangjiajie -Fenghuang, China kali ini, jumlah peserta yang menyertai pakej adalah seramai 17 orang termasuk saya sendiri. Walaupun baru berkenalan, tetapi masing-masing chill dan sporting. Kami berlepas dari KLIA 2 pada pukul 5 petang dengan tempoh penerbangan lebih kurang 4 jam 45 minit. Tempoh yang agak panjang ini saya habiskan dengan mendengar lagu, tidur dan tidak lupa menikmati makanan yang disediakan. Sebaik sahaja kami tiba di hotel di Changsha, saya agak teruja dengan keadaan cuaca yang sejuk gila dan cuba mengajak emak untuk berjalan-jalan di kawasan sekitar namun emak menolak kerana hari agak lewat dan dia kepenatan. Kami terus daftar masuk hotel. Alhamdulillah, bilik yang kami dapat cantik dan selesa. Saya sempat makan Maggie Hot Cup sebelum kemas barang untuk daftar keluar keesokan harinya.



Hari 2
Kami daftar keluar sebelum pukul 8 pagi dan terus bergerak ke Fenghuang dengan menaiki bas. Perjalanan agak jauh juga dalam 5 jam. Saya memilih untuk duduk di tempat duduk belakang kerana mudah untuk bersandar, nak lelapkan mata pun senang…hehehe. Angin sejuk dari luar sampai dalam bas boleh terasa, nak tak nak memang tidur pun kena pakai jaket. Sempat juga saya melihat gelagat anjing yang sedang berlari mengikut pemiliknya yang menaiki motosikal. Kami berhenti untuk sarapan pada pukul 11, perjalanan ke restoran mengambil masa 10 minit dengan berjalan kaki, Sempat juga mereka singgah untuk membeli buah-buahan dan bergambar disebabkan pemandangan sekitar yang cantik.


Setelah selesai bersarapan, kami menyambung perjalanan ke Fenghuang Ancient City dengan menaiki Shuttle Bus. Di sana, kami menaiki Tuojiang River Rafting sambil menikmati pemandangan bangunan purba yang seperti di alam fantasi. Ditambah dengan angin sejuk yang menerpa seolah-olah seperti dalam kdrama pula. Kami meneruskan aktiviti dengan makan malam di restoran tempatan. Disebabkan orang lain macam tak sentuh dumpling yang dihidangkan, jadi yang paling banyak habiskan. Menu Egg Drop Soup di restoran ini pun serius sedap.





Hari 3
Cuaca pada hari ketiga ini amat sejuk dalam 2 darjah Celsius. Nasib baik saya pakai baju 3 lapis. Kami meneruskan perjalananan dari Fenghuang ke Zhangjiajie dengan menaiki bas dengan jarak masa lebih kurang 3 Jam. Sampai di Zhangjiajie kami terus ke Tianmenshan National Forest Park. Di sini terdapat kereta kabel yang setinggi 1 km dan panjangnya 7 km. Nampak seramkan, tapi bila dah naik rasa seronok pula. Walaupun buka masa ni gunung tidak bersalji tetapi pemandangan di kawasan sekitar tetap indah.


Kami melalui Glass Walkway, laluan kaca yang merentasi di antara gunung. Memang boleh nampak terus ke bawah seolah-olah macam terapung di atas gunung. Nak berjalan pun lutut dan rasa menggigil. Kami sempat melawat ke Tianmen Cave yang juga dikenali sebagai Heaven’s Gate. Untuk turun ke bawah sebenarnya ada 2 pilihan sama ada menggunakan tangga 999 step ataupun ekselator. Saya memilih menggunakan ekselator dengan alasan nak temankan emak tapi sebenarnya saya takut sikit nak turun ikut tangga. Sebelum balik ke hotel, kami singgah di 72 Qi Tower, bangunan klasik China yang sangat ikonik dan menjadi pilihan pelancong untuk bergambar.


Hari 4
Kami memulakan lawatan pada pukul 8 pagi dengan melawat Tujia Folk Customs Park. Di sini setiap pelawat diberikan earphone dan audio guide untuk memudahkan sesi penerangan. Cuaca hari ini sangat sejuk sampai boleh nampak asap keluar dari mulut. Boleh kata kagum tengok seni binaan di sini.


Kami menyambung perjalanan dengan menaiki bot di Baofenghu Lake. Sambil menikmati pemandangan yang tenang dan nyaman, kami disajikan dengan persembahan nyanyian. Di sini juga kami dapat melihat Chinese Giant Salamander.
Selesai makan tengahari. Kami ke Grand Canyon Scenic Area. Di sini kami dapat merasai pengalaman menaiki zipline sepanjang Glass Walkway Bridge. Walaupun takut pada mulanya, saya tetap memberanikan diri sebab rasa rugi kalau tak cuba. Memang seronok betul ditambah dengan pemandangan yang cantik dan angin yang kuat. Kami juga mencuba VR experience dan naik gelongsor yang terdapat di situ. Gelongsor dia memang panjang dan curam sampai saya pegang pemegang alas kuat-kuat sebab takut.
Habis semua aktiviti kami lalu balik dekat Glass Walkway Bridge. Disebabkan masa tu dah nak tutup, kawasan atas jambatan tak ramai orang. Saya gunakan peluang yang ada ini untuk jalan atas kaca dan bergambar sambil berbaring untuk IG Story.
Hari 5
Hari ini merupakan hari yang paling penat tapi ia juga seperti ighlight of the trip. Kami memulakan lawatan pada pagi ini dengan melawat Chinese Medicine Storie di Zhangjiajie. Kakitangan memberi penerangan berkenaan kesihatan dan produk mereka. Sambil mendengar, Kami menikmati teh panas sambil rendam kaki dalam air panas. Terdapat sesi urut bahu dan kaki, sedap sangat sampai rasa nak tertidur.
Kami bergerak ke Hualong Caves. Dalam perjalanan, kami dapat melihat pemandangan ladang sayur, itik dan juga kincir air tradisional. Pemandangan di dalam gua juga amat cantik dengan hiasan lampu warna warni. Kami juga dapat menaiki bot di dalam gua, rasa seperti masuk ke dunia lain. Ketika sedang berehat di pintu masuk gua, saya didatangi oleh orang tempatan, mereka bertanyakan soalan pada saya dalam bahasa Cina. Mungkin mereka ingat rupa saya ni macam orang Cina..hahaha.
Lepas makan tengah hari, kami teruskan lawatan ke Zhangjiajie National Forest Park dengan menaiki Small Train dan saya sempat tertidur sebab selesa sangat. Dari bawah lagi kami dah boleh nampak Xihai Stone yang mengagumkan. Di sini kami menaiki Bailong Elevator iaitu Outdoor Elevator yang paling tinggi di dunia. Rasa teruja dan takut ikutkan sebab memang tinggi sangat tapi bila dah sampai dekat atas tu, pemandangan dia memang cantik. Mungkin sebab inilah ia menjadi lokasi untuk filem “Land of Avatar”.
Hari dah mula gelap, perut pulak rasa lapar, kami balik hotel, dan terus makan malam. Sebelum balik bilik, saya sempat jalan-jalan dan beli barang sikit dekat deretan kedai area hotel Best Western Plus. Jumlah perjalanan hari ini lebih kurang 10.9 km!
Day 6
Hari terakhir ni saya makan banyak gila, puas hati dapat layan Chinese cuisine sebelum balik Malaysia. Kami singgah solat dekat Changsha Mosque yang terletak tak jauh dari kawasan membeli belah. Masjid dia tenang, suasana pun nyaman. Lepas solat, kami membeli belah dekat Huangxing Road Walking Street, beli souvenir untuk keluarga dan kawan-kawan. Tempat tu memang meriah, penuh dengan orang dan suasana sangat hidup. Dekat situ macam-macam ada, daripada baju, skincare, barang kemas, hand cream comel-comel, card games, dan banyak lagi benda menarik. Memang rambang mata dibuatnya, semua nampak cute dan worth beli untuk buat buah tangan. Dalam tengah seronok tu, rasa sedih juga sebab trip dah sampai ke penghujung. Tapi hati rasa penuh, penuh dengan pengalaman baru, makanan sedap, tempat cantik, dan moment yang akan dikenang sampai bila-bila. Walaupun berat hati nak tinggalkan tempat ni, saya balik dengan hati yang puas… dan beg yang penuh dengan barang! Alhamdulillah trip ni memang best habis, insyaAllah ada rezeki boleh datang lagi one day.